Abstrak
Kerentanan terhadap merokok yang ditakrifkan sebagai kekurangan komitmen kognitif untuk  tidak  merokok  di  masa  depan,  telah  terbukti  sebagai  pembolehubah  peramal bagi  permulaan  amalan  merokok  di  kalangan  remaja  di  negara-negara  maju. Penyelidikan  ini  bertujuan  untuk  menilai  kegunaan  kerentanan  terhadap  merokok sebagai pembolehubah peramal bagi permulaan amalan merokok di kalangan remaja di daerah  Kota Tinggi, Johor Malaysia. Kerentanan terhadap merokok dinilai dengan menggunakan  dua  item  di  kalangan    1763  remaja    yang  tidak  merokok  pada  2008. Seramai  1288  dari  1763  remaja  (73.1%)  yang  menyertai  kajian  memberikan maklumbalas  dalam  kajian  susulan  dua  belas  bulan  kemudian.  Keputusan  kajian menunjukkan 14.9% (n=188/1260) responden adalah rentan terhadap merokok, 31.9% daripadanya  mula  merokok  selepas  tempoh  setahun.  Responden  yang  rentan terhadap  merokok  adalah  3.7  kali  (95%;  SK:  2.17-6.30)  lebih  bermungkinan    untuk mula  merokok  berbanding  dengan  responden  yang  tidak  rentan  terhadap  merokok, selepas  kesan  pemboleh  ubah  jantina,  lokasi  sekolah,  peratusan  rakan-rakan  yang merokok,  bapa  merokok,  penerimaan  ibubapa  terhadap  amalan  merokok,  dan kepercayaan  tentang  kesan  positif  dan  negatif  merokok  dikawal.  Kajian  ini menunjukkan kerentanan terhadap merokok merupakan pembolehubah peramal yang boleh  dipercayai  dan  boleh  digunakan  sebagai  alat  saringan    untuk  mengenalpasti remaja yang berisiko untuk mula merokok. 
                  Kata Kunci :  
         kerentanan  terhadap  merokok,  
          
          pembolehubah  peramal,  
          
          permulaan amalan merokok,  
          
          remaja,  
           
         
           
        
     
   
 
 
 
 
 
